Pekerja kolar putih lazimnya merujuk kepada pekerja yang bertugas dalam lingkungan pejabat dan tidak melibatkan kerja manual. Justeru, kerani disifatkan sebagai pekerja kolar putih kerana mereka hanya bertanggungjawab dalam penyimpanan rekod dan mengendalikan perkhidmatan pelanggan. Pelbagai syarikat, jabatan kerajaan dan agensi swasta memerlukan kerani untuk menguruskan kertas kerja serta tugas pentadbiran yang lain termasuk sistem pemfailan.

Walaupun secara keseluruhannya tugas kerani adalah untuk menguruskan kerja-kerja pentadbiran dalam lingkungan pejabat, tanggungjawabnya mungkin berbeza mengikut jabatan-jabatan tertentu. Sebagai contoh, tugas kerani akaun termasuklah mencatatkan dan merekodkan simpanan syarikat, membuat pengiraan dengan tepat, menyediakan senarai gaji untuk semua pekerja di pejabat untuk penyimpanan rekod berkanun, memproses dokumen kewangan, menyiapkan invois dan merekodkan setiap transaksi, menunaikan cek dan banyak lagi.

Tugas seorang kerani pusat sumber pula jauh berbeza dengan kerani akaun. Sebagai kerani dalam pusat sumber, individu mestilah mempunyai pengetahuan asas dalam urusan awam termasuklah memastikan perpustakaan dalam keadaan bersih dan menyusun semula buku-buku yang dipulangkan di rak-rak tertentu. Selain itu, kerani perpustakaan juga harus mengetahui serba sedikit tugas-tugas lain berkaitan pembelian, pinjaman dan pemprosesan buku-buku.

Walaupun kerja dan tanggungjawab kerani berbeza mengikut jabatan tertentu, lazimnya semua individu yang menceburi bidang ini perlu teliti dan melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, cekap, praktikal, rajin, tenang dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah dalam syarikat.

Memandangkan kebanyakan syarikat di Malaysia memerlukan kerani dan terdapat banyak kekosongan, individu yang berminat untuk bekerja sebagai kerani perlu mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia dan Matematik dan yang paling penting, tahu menggunakan komputer terutamanya Microsoft Word dan Excel.